Pada awalnya pertubuhan ini merupakan sebuah pertubuhan tidak berdaftar yang dikenali sebagai Persatuan Belia Islam Nabawan (PERBINA). PERBINA telah ditubuhkan dan diasaskan oleh Saudara Fredolley Bin Lining @ Muhd. Fitri Azizi Lining pada tanggal 18hb Mac 2004 bersamaan dengan hari Khamis, di Bilik Gerakan Sekolah Agama Rakyat Al-Falah, Kg. Murni C daerah Nabawan. Jumlah ahli PERBINA pada ketika itu hanyalah sekitar 18 orang sahaja. Namun yang demikian, PERBINA hanya bertahan selama 5 bulan kerana pada ketika itu sambutan yang diberikan oleh golongan belia muslim di daerah Nabawan kurang memberangsangkan di samping masalah kekurangan dana PERBINA untuk mengadakan program-program keagamaan khusus untuk belia muslim. Pada tahun 2006, sekali lagi Saudara Fredolley Bin Lining menubuhkan sebuah pertubuhan bagi menggantikan PERBINA yang berstatus kelab di bawah kelolaan Jawatankuasa Kesenian Islam Masjid Al-Hidayah daerah Nabawan iaitu Kelab Sahabat Masjid Al-Hidayah Nabawan. Objektif utama penubuhan Kelab Sahabat Masjid Al-Hidayah Nabawan tersebut adalah untuk menarik minat para belia muslim di daerah Nabawan terhadap program-program kesenian Islam seperti Nasyid, Kompang, Marhaban dan juga Tilawah Al-Quran. Ianya juga merupakan jalan penyelesaian untuk mengatasi masalah ketiadaan peserta dan kumpulan bagi mewakili daerah Nabawan ke Festival Kesenian Islam dan Majlis Tilawah Al-Quran di peringkat Bahagian Pedalaman Atas yang diadakan oleh pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) setiap tahun.

Setelah hampir 4 tahun bergerak, akhirnya Kelab Sahabat Masjid Al-Hidayah Nabawan didaftarkan secara sah dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) Cawangan Sabah pada tanggal 18hb November 2009 dan seterusnya diubah nama kepada Persatuan Belia Sahabat Masjid Daerah Nabawan (Sahabat Masjid), Nombor Pendaftaran : 2389-09-SBH, dengan jumlah ahli seramai 38 orang ahli sahaja. Pertubuhan ini seterusnya bergiat aktif mengadakan program-program dakwah bilhal yang memberi tumpuan khusus untuk membimbing para belia muslim di daerah Nabawan agar mencintai bidang dakwah, sungguhpun pada ketika itu pertubuhan ini mengalami masalah kewangan dan kekurangan kemudahan asas bagi mengadakan program-program dakwah yang berterusan. Sumber kewangan untuk menjalani program-program dakwah pertubuhan ini pada ketika itu hanya bergantung kepada sumbangan yang diberikan oleh pemimpin-pemimpin Islam yang tidak putus-putus memberi semangat dan sokongan terhadap usaha dakwah yang diperjuangkan oleh pertubuhan ini.

Oleh kerana pertubuhan ini semakin dikenali oleh golongan belia muslim di daerah Nabawan mahupun di luar daerah Nabawan, satu Mesyuarat Agung Tahunan telah diadakan pada 21hb Mac 2013 Bersamaan 09hb Jamadilawal 1434H (Khamis) bertempat di Masjid Al-Hidayah daerah Nabawan bertujuan untuk membubarkan Ahli Majlis Tertinggi bagi Sesi 2009 – 2012 dan seterusnya membincangkan serta mempersetujui cadangan penggubalan perlembagaan pertubuhan ini iaitu daripada status tidak bercawangan kepada bercawangan, pertukaran taraf pertubuhan daripada daerah kepada negeri dan penjenamaan semula nama pertubuhan ini kepada Pertubuhan Belia Sahabat Masjid Pedalaman Atas, Sabah (Sahabat Masjid).

Permohonan penggubalan perlembagaan tersebut telah dihantar kepada pihak Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia cawangan Sabah (ROS) untuk disemak dan dipertimbangkan. Dan akhir sekali pada tanggal 17hb Julai 2013 bersamaan dengan 08hb Ramadhan 1434H, permohonan tersebut telah diluluskan oleh pihak Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia cawangan Sabah (ROS) dengan membawa nama pertubuhan yang baharu iaitu Pertubuhan Belia Sahabat Masjid Pedalaman Atas, Sabah (Sahabat Masjid), Nombor Pendaftaran : PPM-003-12-18112009.


Created with Artisteer

0 ulasan:

Catat Ulasan

Komentar dan pendapat anda untuk menambah baik pengurusan laman blog ini amat dialu-alukan... Terima kasih...

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Carian Anda

Catatan Popular

Follow Me

Pendaftaran Ahli Online


Dikuasakan oleh Blogger.

Jadual Liga Street Soccer 2014

Jadual Liga Street Soccer 2014